Sebentar tadi dalam perjalanan pulang dari Villa Chintaku, di Hiway Kesas, aku dan suami berhenti di R&R untuk menikmati satay Kajang Hj Samuri. Jam menunjukkan 11.21 malam. Selesai makan kami pun meneruskan perjalanan pulang. Seketika hampir ke plaza tol di Bukit Jalil, sebuah kereta Kembara meluru dari belakang dengan lajunya. Aku pun tidak perasaan sangat apa yang berlaku. Hanya aku dengar suamiku merungut. Bila ku tanya kenapa, dia terus menunjukkan kearah kereta kembara tersebut yang memasuki lorong touch & go sementara kami pula memasuki lorong smart tag.
Namun demikian selepas melepasi palang tol, suami ku menurunkan tingkap sebelah ku dan aku menoleh ke arah kereta kembara di sebelah kiri ku. Pemandu nya berbuat hal yang sama iaitu menurunkan tingkapnya juga. Aku lihat seorang anak muda Cina, merapatkan keretanya ke arah kami. Dia menjerit "Lu mau apa?" Suami ku menjawab "janganlah bawa laju-laju". Dia menjerit dengan marah "lu mau apa? kalau mau tunggu depan!" serentak itu dia berada di hadapan kereta kami dengan memandu perlahan dan menghidupkan hazard light nya. Suami ku hanya mengikut di belakang kereta tersebut.
Aku katakan kepada suamiku supaya jangan memotong dia dan jarakkan kereta dari nya. Sampai di simpang masuk ke Maju Express, aku suruh suamiku masuk ke lorong tersebut dan alhamdulillah kereta kembara itu tidak sempat membelok untuk mengekori kami.
Walaupun episod itu hanya lebih kurang 5 minit sahaja namun ia sudah cukup membuat kaki ku menggeletar. Tabiat suamiku suka hon pemandu, suka menegur kesalahan orang dengan cara angkat tumbs up dan berbagai lagi akhirnya mengundang masaalah.
Aku sering menegur beliau tentang sikapnya itu terutamanya membunyikan hon kepada penunggang motosikal yang tidak mengikut lorong motosikal. Aku berpesan, jangan sekali kali membunyikan hon kepada penunggang motosikal terutamanya waktu malam dikhuatiri mereka adalah mat rempit. Tetapi yerlah ego orang lelaki mana nak dengar nasihat kita.
Namun begitu, ini lah Malaysia. Manusia di dalamnya mengalami pelbagai masaalah emosi. Hal yang kecil boleh menjadi besar sehingga mengakibatkan nyawa melayang. Kalau nak menegur biarlah kena pada tempat dan lihat lah orangnya. Memang benar, kita perlu menghidupkan amar maaruf nahi mungkar namun perlulah kita lihat siapa orang itu, bagaimana keadaannya, kenapa dia bersikap begitu, lihat persekitarannya dan lain-lain. Apa yang penting, kita tegurlah anak-anak dan ahli keluarga kita dahulu supaya mempunyai sikap bertanggungjawab dan menghormati orang lain. Kalau seluruh keluarga di negara ku yang tercinta ini buat hal tersebut, insyaAllah penyakit emosi, jenayah, buli jalanan dan lain-lain lagi mungkin dapat dibendung sedikit sebanyak, Allahu a'laam.
Mudah-mudahan Allah SWT membantu kita rakyat Malaysia untuk hidup di dalam keadaan yang lebih aman, amin.

No comments:
Post a Comment