Hari ini ibumu menadah tangan ke hadrat Illahi. Memohon segala Rahmat dari Nya. Memohon agar kamu berdua mendapat perlindungan dari Nya. Supaya kamu meneruskan amanah kita sebagai manusia. Jadilah kamu wahai anak-anakku, insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Ibu mu ini mungkin tidak lama hidup di dunia. Terlalu banyak yang masih belum diselesaikan namun apakan daya, tarikh luput pinjaman ku dengan Yang Maha Pencipta semakin hampir. Semasa muda, aku terlalu mengejar hal dunia. Alhamdulillah, Allah menyedarkan ku sebelum terlambat. Alangkah sedih apabila waktu usia muda ku tidak ku cari bekalan akhirat. Sekarang, ibumu ini cuba sedaya upaya untuk mengumpul pahala dari dosa. Berdoalah agar aku berjaya.
Pesanan ku wahai anak-anak ku. Usia kamu berdua menginjak 30 tahun. Sedarlah bahawa kita hidup tidak menongkat langit. Sampai waktu kita semua akan pergi jua. Bersiap sedia lah untuk memulakan perjalanan itu. Bersiaplah dengan bekalan-bekalan yang baik agar kamu tidak menyesal di kemudian waktu. Hidupkanlah diri kamu dengan Islam, didiklah keluargamu dengan Islam, dan matilah kamu semua dalam Islam. Ingatlah bahawa kita mahu bertemu Rabb dalam Keredhaan Nya. Semoga kamu berdua menjadi Muslim yang diredhai Nya, amin, amin, amin ya rabb alameen.

No comments:
Post a Comment